Persepsi dan pengetahuan rakyat terhadap institusi Raja Malaysia: satu kajian kes di Perlis dan Kedah pada 2014
View/ Open
Date
2014-06Author
Ramlah, Adam, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Hjh.
Noormaizatul Akmar, Ishak
Metadata
Show full item recordAbstract
Institusi Raja di Malaysia adalah satu institusi tradisional yang sedia ada sebagai teras sistem pemerintah dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu,yang muncul sejak awal kurun ke-11 di Malaysia. Raja sebagai teras kerajaan-kerajaan Melayu, pada masa dahulu adalah katalis kepada kewujudan sesebuah kerajaan. Dalam konsep pemerintahan Raja Mutlak, kerajaan - kerajaan Melayu diasaskan dan diperintah dengan sepenuhnya oleh seorang raja dengan kuasa yang penuh dan berdaulat. Ditangan bagindalah terletaknya semua punca kuasa dan perintah dalam pengurusan negeri dan jajahan takloknya. Perubahaan berlaku selepas kuasa pentadbiran tempatan diambil alih oleh British dan Jepun sebagai penguasa politik Tanah Melayu pada kurun ke-19 dan ke-20. Namun institusi raja tidak dihapuskan tetapi kekal sebagai ketua negeri dan jajahan takluknya, walaupun pentadbiran dipegang oleh kuasa asing. Pemerintahan selari diwujudkan dan bergerak bersama-sama.
Dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948, konsep Raja Berperlembagaan diperkenalkan. Ini diteruskan selepas kemerdekaan 1957 dan penubuhan Malaysia 1963. Perlembagaan Malaysia pada hari ini menggunakan konsep Raja Berperlembagaan bagi institusi raja,dan dilaksanakan seiring dengan konsep Demokrasi Berparlimen.
Satu kajian kes telah dilakukan ke atas persepsi rakyat terhadap institusi raja di Malaysia. Tujuannya ialah untuk melihat sejauhmana pandangan dan pemahaman rakyat umum terhadap institusi ini. Ini termasuklah pengetahuan mereka terhadap Raja-raja Negeri-negeri, kedudukan Raja-raja dalam Perlembagaan Malaysia, peranan dan sumbangan mereka di dalam pemerintahan Negara serta kriteria yang diperlukan oleh rakyat kepada raja sebagai ketua atau pemerintah Negara. Hasil daripada kajian kes yang dilakukan ke atas 177 orang di Perlis dan 159 orang di Kedah, dengan soalan-soalan yang sama, ternyata terdapat satu keadaan persepsi yang berbeza-beza di antara kaum, lokasi tempat tinggal, taraf pendidikan yang diterima, pendedahan dan harapan mereka terhadap institusi raja di Malaysia. Pada keseluruhannya, orang Melayu mempunyai pengetahuan yang tinggi dan persepsi yang baik terhadap institusi raja. Pendedahan dan budaya yang mendaulatkan pemerintahan beraja yang telah menjadi teras masyarakat Melayu selama ini, telah menjadikan mereka
tidak asing kepada institusi ini. Para pelajar dan mereka yang bekerja dengan kerajaan juga mempunyai persepsi yang positif mengenai institusi ini. Terdapat juga pemahaman yang kurang dalam kalangan kaum-kaum tertentu. Walau bagaimanapun, semua kaum yang menjadi rakyat Raja Perlis dan Kedah mempunyai harapan yang tinggi kepada raja sebagai pemimpin mereka yang berwibawa. Dicadangkan lebih banyak pendedahan diberikan kepada orang ramai bagi memperkukuhkan dan memperluaskan persepsi positif mereka terhadap institusi raja dan kepentingannya kepada pemerintahan dan pentadbiran Negara.