Novel Profesor karya Faisal Tehrani dari aspek analisis Oksidentalisme
Abstract
Kajian ini dijalankan bagi menganalisis novel Profesor (2017) karya Faisal Tehrani dengan menggunakan model oksidentalisme yang diperkenalkan oleh Hassan Hanafi (1999). Kajian ini bertujuan untuk melihat dan menganalisis pemikiran Faisal Tehrani melalui novel Profesor menggunakan model oksidentalisme. Penggunaan model oksidentalisme di dalam kajian ini dapat melihat bagaiamana sikap dan pemikiran penulis-penulis khususnya Faisal Tehrani di dalam mengangkat budaya, pemikiran, dan ketamadunan bagi masyarakat timur agar seiring dengan masyarakat barat melalui bidang penulisan. Hal ini dapat dianalisis melalui saranan Model Oksidentalisme Hassan Hanafi melalui sikap terhadap tradisi lama, sikap terhadap tradisi barat dan sikap terhadap realiti semasa yang wujud di dalam novel Profesor karya Faisal Tehrani. Seterusnya, kajian ini juga melihat dan menganalisis pemikiran Faisal Tehrani melalui novel Profesor yang dilihat sangat cenderung dan menyokong isu-isu berkaitan hak asasi manusia termasuk Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT). Novel ini juga merupakan suatu kelainan bagi peminat-peminat novel Faisal Tehrani kerana novel ini menggunakan genre novel indie dan fixi. Ini kerana kajian ini telah memberikan sudut pandangan kedua bagi pemikiran Faisal Tehrani di dalam isu-isu yang cuba diketengahkan. Hasil analisis terhadap novel Profesor karya Faisal Tehrani membolehkan kita memahami pemikiran dan isu berkaitan hak asasi manusia khususnya LGBT dengan lebih adil berasaskan fakta dan hujah-hujah yang kukuh dan mantap. Selain itu, kajian ini juga mendapati pemikiran masyarakat timur terutamanya orang Melayu masih lagi tebal dengan dinding pemisah (mental block) terhadap realiti kehidupan masa kini dan global yang mengiktiraf hak-hak asasi manusia seperti yang disyorkan oleh United Nations: The Universal Declaration of Human Right (UDHR).
Collections
- Conference Papers [2600]