Kajian bibliometrik penerbitan berbahasa Melayu dalam Indeks Scopus
Abstract
Kemunculan sistem penerbitan moden yang menyediakan perkhidmatan indeks dan abstrak hasil penyelidikan yang dijalankan oleh para sarjana dalam pangkalan data tertentu adalah impak daripada perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat dan kepustakaan. Sistem penerbitan moden ini turut mencetuskan senario baharu dalam dunia akademik. Pengiktirafan terhadap universiti bertaraf dunia yang menetapkan satu daripada kriteria penilaian adalah melalui penerbitan hasil penyelidikan dalam jurnal yang diindeks oleh pangkalan data Scopus telah mengubah tumpuan ahli akademik daripada menerbitkan buku kepada penerbitan jurnal. Sistem penerbitan moden ini, pada dasarnya memberi cabaran yang besar kepada perkembangan bahasa Melayu. Dengan wujudnya sistem ini, penerbitan makalah dalam jurnal yang diindeks oleh Scopus semakin di dominasi oleh makalah berbahasa Inggeris. Oleh itu, kajian bibliometrik ini dijalankan untuk menganalisis pola penerbitan makalah berbahasa Melayu dalam Scopus untuk tempoh 5 tahun, iaitu dari tahun 2013 sehingga 2018 dan mengenal pasti potensi penerbitan makalah berbahasa melalui berdasarkan indikator jumlah petikan sitasi dan h-Indeks makalah yang diindeks Scopus. Data dimuat turun daripada pangkalan data indeks Scopus menggunakan carian bahasa (Malay Language). Kajian bibliometric ini menggunakan keputusan analisis (result analysis) yang dipaparkan dalam laman sesawang Scopus. Dapatan kajian memperlihatkan dalam tempoh lima tahun (2013-2018) prestasi penerbitan makalah berbahasa Melayu dalam jurnal yang diindeks Scopus menunjukkan peningkatan yang positif dari aspek prestasi IPT, jumlah petikan sitasi dan H-Indeks. Kajian ini diharap dapat memberikan gambaran sebenar tentang status penerbitan makalah berbahasa Melayu dalam pangkalan data antarabangsa (scopus) dan membina kesedaran kepada pihak penerbit dan penulis untuk meningkatkan penerbitan makalah berbahasa Melayu agar bahasa Melayu dapat berada di persada antarabangsa setanding dengan penerbitan dalam lain-lain bahasa terutamanya bahasa Inggeris.
Collections
- Conference Papers [2600]